RMAF BLACKHAWK JUARA PRINCE OF SONGKHLA SEVENS HATYAI 2009
HATYAI, 02 FEB 2009 – RMAF BLACKHAWK dinobat johan Kategori CUP Kejohanan Ragbi Prince of Songkhla Sevens 2009 setelah cemerlang mengungguli 3 kumpulan teratas pada hari kedua kejohanan. NS Wanderers menduduki tempat kedua dan diikuti dengan RMR Warriors di tempat ketiga. Mohd Redzuan Sharif ‘Jalut’ dari RMAF Blackhawk telah muncul sebagai Best Player Prince of Songkhla Sevens 2009. Kategori Kedua; Perlis Sevens muncul johan Kategori Plate diikuti Alor Setar Blues di tempat kedua dan Songkhla A di tempat ketiga. Dalam kejohanan pada kali ini, kedua-dua kategori di dominasi sepenuhnya oleh pasukan dari Malaysia. Kedua-dua piala utama yang dipertandingkan telah berjaya dibawa pulang ke Malaysia.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari di Stadium Universiti Prince of Songkhla Hatyai menempatkan 15 pasukan bertanding dari Thailand dan Malaysia. Lima pasukan dari Malaysia; RMAF Blackhawks, NS Wanderers, RMR Warriors, Perlis Sevens dan Alor Setar Blues. Sepuluh pasukan dari Thailand ialah Songkhla A, Songkhla B, Ultimate Southerner, Barbarians, MGT 32, MGT 33, Ao-Luk, NR, POS Engineering dan POS Economic. Menurut Pengurus Pasukan RMAF Blackhawk, Mejar Roslan Bakar berkata kemenangan RMAF Blackhawk di Hatyai pada kali ini adalah hasil kerjasama semua pihak terutamanya pihak pengurusan tertinggi TUDM. Ini merupakan kejayaan kedua berturut-turut buat RMAF Blackhawk selaku pembuka tirai 2009 setelah mereka turut muncul juara Armed Forces 7s pada awal Januari lalu.
Bagi Ketua Jurulatih RMAF Blackhawk, Khusainy Ishak melihat kejayaan ini sebagai satu tanda amaran awal kebangkitan pasukan ragbi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di dalam arena ragbi Malaysia dan peringkat antarabangsa. “ Kita bersyukur kerana berjaya menewaskan semua pasukan dari Thailand dan saya percaya pasukan ini mampu mengekalkan momentum yang sama untuk beberapa kejohanan lain lagi selepas ini. Terima kasih yang tidak terhingga kerana TUDM telah memberi kepercayaan kepada kami untuk mara ke Thailand dan mengukir nama di Hatyai.” Ujar Khusaini Ishak.
Kelab-kelab dari Malaysia amat bersedia di kejohanan ini dan rata-rata mereka berjaya menewaskan pasukan-pasukan dari Thailand dengan jurang mata yang amat besar. Tahniah diucapkan kepada kelima-lima pasukan Malaysia yang bertanding di Prince of Songkhla Sevens 2009 dan kejayaan ini membuktikan kesemua pasukan di Malaysia sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan tujuh sepasukan di peringkat kebangsaan bagi tahun 2009.
No comments:
Post a Comment